Saturday, April 17, 2010

Hidupkanlah Hatimu...


Hati merupakan raja dalam kerajaan diri.Hati juga penentu kepada tindakan yang akan dilakukan oleh seseorang insan. Namun,hati juga tempat jatuhnya pandangan Allah, pencipta kepada hati tersebut. Allah s.w.t tidak melihat kepada jasad, kekayaan mahupun kepandaian yang kita miliki, namun Allah s.w.t melihat kepada hati insan yang sentiasa tunduk kepada-Nya.

Kita melihat manusia pada hari ini begitu sibuk menguruskan soal luaran diri iaitu soal fizikal.Amat sedikit golongan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk menguruskan soal hati.Hal ini adalah kerana manusia pada hari ini lebih mementingkan apa yang dilihat oleh manusia bukannya apa yang dilihat oleh pencipta manusia yakni Allah s.w.t.Maka wujudlah golongan yang berkejaran pagi sehingga malam mencari habuan dunia sehingga meninggalkan soal bagaimana untuk menghidupkan hati.

Hati ibarat tubuh badan yang memerlukan makanan.Apakah makanan bagi hati?Sekiranya tubuh badan kita memerlukan makanan yang mana semuanya berasal daripada tanah,maka makanan daripada hati ialah semuanya daripada Allah s.w.t kerana roh kepada hati sifat semulajadinya hampir kepada Allah s.w.t.Apakah perkara yang mendekatkan hati kita kepada Allah? Ya,sudah tentu dengan mengingati Allah atau zikrullah. Ibarat seorang lelaki yang begitu cinta kepada seorang gadis,maka gadis tersebut akan sentiasa berada dalam bayangan dan sebutannya kerana lelaki tersebut begitu cinta kepada gadis tersebut. Begitu juga sekiranya seorang hamba begitu cinta kepada Allah,maka hatinya akan sentiasa mengingati Allah dalam setiap detik gerakkannya.Persoalannya,adakah cukup dengan hanya kita berzikir subhanallah,alhamdulillah setiap masa menandakan kita telah mengingati Allah? Ya,jawapannya,kita perlu melihat apakah makna sebenar zikir yang dimaksudkan.

"Hanyasanya hati yang berzikir mengingati Allah akan tenang",begitulah maksud firman Allah s.w.t. Sekarang, mari kita lihat dimensi 'zikir'yang sebenarnya dalam Islam. Zikir terbahagi kepada 3, pertama ialah zikir 'qauli' iaitu zikir dengan menyebutnya dengan perkataan atau lisan. Kedua ialah zikir 'qolbi' iaitu zikir dengan hati yang mana bermaksud kita sentiasa mengingati Allah s.w.t dalam hati. Ketiga ialah zikir 'fi'li' iaitu zikir dengan perbuatan yang mana setiap perbuatan kita adalah mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya.Mungkin ramai dikalangan kita yang memahami bahawa sekiranya kita berzikir dengan menyebut nama-nama Allah sudah cukup bagi kita untuk menghidupkan hati kita. Namun,persepsi kurang tepat kerana kita telah melihat zikir tersebut merangkumi 3 dimensi yang disebutkan sebentar tadi.Ketiga-tiga jenis zikir ini perlu digemblingkan bersama iaitu berlaku seiringan dalam kehidupan kita agar hati kita akan sentiasa subur kepada Allah. Perlu diingat,sekiranya hati kita tidak disuburkan,ibarat tanah yang gersang tidak akan menumbuhkan apa-apa kehidupan di atasnya dan tidak memberikan manfaat kepada sesiap sahaja. Tetapi,sekiranya hati tersebut sentiasa subur kepada Allah,maka hati tersebut akan terus hidup dan bercahaya seterusnya cahaya tersebut dapat menerangi insan lain yang berada disekelilingnya.Oleh hal yang demikian,marilah kita sama-sama hidupkan hati kita dengan terus menyemarakkan 'zikir kepada Allah' dalam diri kita...

No comments:

Post a Comment